January 11, 2011

Inikah Petanda?

Assalamualaikum. Dah lama aku tidak pos entri dalam blog ini. Habuk dan bersawang dibuatnya. Pada entri pertama aku untuk tahun 2011 ini, aku nak publish entri aku yang sebenarnya telah lama ditulis ( pada 28/05/2010 ). Aku pun tak tahu kenapa aku tak publish entri ni dari dulu. Dikesempatan ini aku ingin memohon maaf jika ada entri aku pada tahun - tahun yang lepas yang membuatkan kamu tidak senang. Semoga tahun 2011 ini menjadi tahun yang lebih baik buat kita berbanding tahun lalu. Selamat membaca. :)




Dalam beberapa hari ini aku rasa tidak berapa sihat. Batuk, demam, dan sakit kerongkong bagaikan datang dalam satu pakej. Namun lagakku seperti biasa, seperti aku yang normal. Mampu beriadah, berbual dan sesekali bergurau senda. Pada masa yang sama aku dapat merasakan sesuatu. Sesuatu yang tidak dapat aku luahkan kepada sesiapa. Sesuatu yang membuat aku terasa senak di dada. Kadang kala rasa itu membuatkan mata aku meluahkan air.

Aku tidak sedap hati. Setelah aku amati apa yang aku rasakan ini, aku sedar bahawa aku sedang dibelenggu kesedihan. Sedih yang membuat dada aku terasa perit. Aku tidak faham kenapa aku merasai semua ini. Rasa yang tidak pernah aku alami pada sebelumnya. Aku dapat merasakan yang aku tidak akan berada di dunia ini untuk masa yang lebih lama. Kerisauan aku itu lama - kelamaan tidak dapat aku sorokkan dengan gelak tawa dan senda gurau. Rakan - rakan sudah mulai perasan perubahan aku ini. Masing - masing memberi semangat kepada aku. Aku sekadar mampu memberi secebis senyuman tanda menghargai mereka.

Dalam keadaan serba tidak kena ini, aku teruskan juga hari - hari biasa sambil mencari jawapan kepada perasaan aku. Tanggal 30 Mac 2000, merupakan hari kejayaan aku. Kejayaan aku dalam mencari jawapan yang membelenggu aku. Kejayaan yang aku sambut dengan senyuman tetapi bukan kegembiraan. Rakan - rakan aku juga menanti jawapan yang aku temukan itu supaya dikongsi bersama. Dalam keadaan senyum yang beransur -ansur hilang itu, aku memberitahu mereka bahawa ibu aku sudah tiada lagi. Saat - saat itu juga senyuman aku hilang dan digantikan dengan tangisan.

Selepas aku menemui jawapan itu, demam, batuk, dan sakit kerongkong hilang bagaikan 1 pakej juga. Cuma perasaan sedih sahaja masih terasa. Mungkin apa yang aku rasakan ini adalah petanda bahawa aku akan kehilangan ibu. Walaupun aku diberi petanda, tapi sayang kerana tidak aku gunakan kesempatan dalam satu minggu itu untuk mendengar suaranya buat kali terakhir. Tiada apa yang mampu aku lakukan lagi kerana tiap - tiap penyakit ada penawarnya melainkan mati. Hanya doa yang dapat aku kirimkan. Moga Allah tempatkannya bersama golongan orang - orang yang beriman. Al - Fatihah.







( p/s : ibu itu adalah ibu angkat aku tetapi aku anggapnya sebagai ibu kandung aku sendiri. Sayangi ibu anda sementara dia masih bernyawa.. )