December 8, 2009

Apalah nasib 2



Post aku kali ini merupakan sambungan ( nasib tidak baik aku ) kepada post yang sebelumnya. Kejadian yang ingin aku kongsikan ini juga berlaku sehari selepas kejadian yang diceritakan sebelum ini. Dalam keadaan yang serba salah, aku ingin kongsikan pengalaman aku agar kita sama - sama dapat mengambil ikhtibar darinya.


Selepas kejadian kejar - mengejar yang berlaku berhampiran rumah sewa aku, aku segera membawa diri pulang ke rumah ( mak bapak aku ). Harapan aku adalah keadaan akan menjadi lebih baik jika aku tinggal bersama keluarga. Pada sebelah malamnya, aku bersama 2 orang rakan ingin keluar melepak di kedai makan berdekatan rumah aku. Pada malam itu cermin kereta agak berkabus kerana hari hujan, ditambah pula dengan driver ( rakan aku ) yang rabun menyebabkan pemanduan jadi tidak begitu baik.

Sedang aku rancak bersembang dengan rakan, tiba - tiba kedengaran bunyi yang agak kuat dibahagian hadapan kereta. Kami yang agak cemas segera memerhatikan apa telah dilanggar tadi. Apa yang aku nampak ketika itu adalah sekujur tubuh manusia yang tertiarap di atas jalan raya. Kami segera pergi ke arah lelaki itu untuk menghulurkan bantuan. Aku lihat lelaki yang tertiarap itu mengalami pendarahan di bahagian kepala. Dia tidak dapat berbuat apa - apa melainkan meraung kesakitan. Darah yang mengalir juga sangat pekat. Atas bantuan orang ramai, lelaki itu telah dihantar ke hospital berdekatan.

Selepas kejadian itu, aku menjadi lebih berhati - hati. Lelaki itu ( seorang pakcik ) dikhabarkan semakin baik. Harapan aku, kalian dapat mengambil ikhtibar dari apa yang telah aku alami.


(p/s : aku agak trauma dengan apa yang telah aku lalui )

November 21, 2009

Apalah Nasib




Sejak akhir - akhir ini nasib aku tidak berapa baik, seringkali ditimpa masalah, masalah dan masalah. Namun bagi aku ini semua adalah ujian sebagai peringatan kepada aku. Dan aku juga tidak keberatan untuk berkongsikan kisah ini kepada kamu semua ( memandangkan aku juga sudah lama tidak update blog ). Moga - moga kisah aku ini dapat memberi peringatan kepada kalian!


Kisah 1

Untuk memendekkan cerita yang sudah dipanjangkan, kisah aku ini bermula ketika aku selesai menonton wayang bersama rakan. Setiba di kawasan meletak motorsikal, rakan aku meminta kunci motor kepada aku yang sememangnya tidak tahu dimana letaknya. Setelah di cari, rupa - rupanya kunci motor itu tertinggal di motor dan mujurlah tiada sesiapa yang berkenan terhadap motor tersebut.

Yang menjadi masalahnya, helmet yang digantung pada tempat duduk motorsikal telah hilang. Memandangkan jam pada waktu itu sudah pukul 1 pagi, aku dan rakan bertekad meneruskan perjalanan tanpa memakai topi keledar. Tiba di satu persimpangan lampu isyarat, kami ternampak road block sedang dijalankan oleh polis. Kerana agak terkejut, rakan aku membuat pusingan ( melanggar isyarat lampu ) dan terserempak dengan kereta peronda yang lain.

Maka adengan kejar mengejar dengan polis pun terjadi. Polis membunyikan siren sambil memberi amaran supaya kenderaan kami dihentikan di sisi jalan. Terasa seperti berlakon cerita James Bond pula. Tetapi ternyata kenderaan Nouvo yang ditunggang kami bukan tandingan bagi tiga buah Waja milik polis. Tiga saman dikeluarkan untuk kesalahan tidak memakai helmet, tidak mematuhi lampu isyarat, dan tiada insyuran ( road tax tamat tempoh ). Inilah kisah helmet dicuri ditambah pula pakej saman yang diterima. Cerita ini ada sambungannya....

p/s : Kesalahan lari dari sekatan jalan raya membolehkan polis melepaskan tembakan kepada kamu. ( pesan pakcik polis kepada kami )

September 20, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri



Dikesempatan ini aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca blog tulisancyber. Aku juga ingin memohon maaf sekiranya penulisan di blog ini menyinggung hati kamu semua. Moga Aidilfitri pada tahun ini lebih bermakna dari yang sebelumnya.

- blog sudah lama tidak diupdate, aku sangat sibuk!

July 28, 2009

Melayu semakin pelik




Setiap detik masa berlalu, aku rasakan melayu semakin pelik. Pelbagai perkara yang dilarang, itulah yang menjadi kebanggaan. Apakah tujuan mereka? Jika dengan melakukan perbuatan teruk itu mereka rasakan hebat, aku rasa itu adalah kesilapan besar. Tiada siapa yang akan respect kalian melainkan makhluk - makhluk yang seangkatan kalian sahaja.

Lelaki dan perempuan sama sahaja peliknya. Malunya tidak hanya pada bangsa malah pada agama. Bagi kamu yang belum terlibat dengan perbuatan yang teruk, hindarilah ia. Bagi kamu yang telah melakukannya, insaflah. Aku bukan pakar motivasi untuk menyedarkan kalian, tetapi aku sekadar mengingatkan diri aku dan berharap agar kita sama - sama tidak melakukannya. Ini adalah contoh perbuatan yang telah dilaksakan oleh melayu kita. melayu semakin layu.

yang perempuan




yang lelaki




[ p/s : kalau kita tidak sedarkan makhluk sebangsa dan seagama dengan kita, siapa lagi? ]

July 11, 2009

Damasutra

Kesibukan + ketiadaan laptop mahu pun pc + ketiadaan internet telah menyebabkan aku kebuntuan untuk meng update blog. Kali ini aku sekadar mahu berkongsi mengenai kumpulan rock pada masa dahulu iaitu Damasutra. Damasutra mempunyai vokalis dengan vokal yang mantap. Lagi menarik adalah kerana vokalis kumpulan ini ada sangkut - paut dengan aku (aku hanya mengetahuinya ketika berumur belasan tahun). Jom layan lagu diorang!

July 4, 2009

Jenayah Mengemis??




Pernahkah kamu melihat manusia yang berkerjaya sebagai seorang PENGEMIS? Mereka duduk di tepi - tepi jalan dan sering kali juga kelihatan di kawasan laluan orang ramai. Dengan bermodalkan muka kesian, ayat - ayat "magic" juga penampilan yang sememangnya ringkas, mereka mampu mengutip pendapatan yang lebih banyak berbanding dengan gaji harian kita. Hebat bukan? Aku bukan mahu menghina atau merendah - rendahkan mereka kerana aku juga merasa simpati melihat orang - orang yang berkerjaya sebegini. Cuma segelintir masyarakat kita telah mengambil kesempatan di atas SIMPATI kita ini.


Dengan wujudnya golongan yang mengambil kesempatan ini, aku telah mula rasa ragu - ragu apabila didatangi orang - orang sebegini. Aku pernah mengalami peristiwa yang betul - betul membangkitkan kemarahan aku apabila ditipu oleh orang sebegini. Kisahnya bermula ketika aku sedang menanti makanan di sebuah restoran. Aku bersama abang aku dan seorang rakan abang aku telah didatangi oleh seorang lelaki yang membawa sebungkus bag plastik yang berisi buku. Buku - buku di dalam plastik itu semuanya berunsur kerohanian.

Lelaki itu memberitahu dia sedang mengutip derma bagi pembinaan sebuah surau di kawasan yang aku juga tidak pasti tempatnya. Katanya ambillah mana - mana buku itu dengan harga cuma RM 1. Maka rakan abang aku mengambil 2 buah buku = RM 2 dan abang aku mengambil 3 buah buku = RM 3. Aku cuma mendiamkan diri dan melihat gelagat lelaki itu. Kemudian dia menegur aku,

Peminta : abang tak mahu ambil satu buku? Cuma RM 1 dan duit ini akan disumbangkan kepada surau itu.
Rakan abang aku : tidak perlulah sebab abang dia sudah ambil tiga buah buku. Kira sekali dengan dialah tu.
Peminta : ambillah satu, cuma RM 1 sahaja.
Aku : baiklah, berilah saya satu buku. ( dia ni paksa aku ke?? )


Aku pun memberi lelaki itu RM 1 dan mengambil sebuah buku, tetapi sebelum beredar lelaki itu memberitahu kami,


Peminta : sekejap, sekejap..
Abang aku : kenapa?
Peminta : cuba abang kira berapa buah buku yang berada atas meja ini? Semuanya ada 6 buah bukan? Tetapi di tangan saya cuma ada RM 3.
Aku : ( pelik..?? tadi kan abang aku dah bayar?? )
Abang aku : kalau begitu ambillah kembali buku - buku ini.
Peminta : janganlah begini bang, kesian abang. Abang kan mahu membaca buku - buku ini. Nanti tidak dapat membacanya pula.
Abang aku : baiklah, saya ambil satu sahaja. ( sambil memberi RM 1 kepada lelaki itu )
Peminta : terima kasih bang.

Semasa lelaki itu ingin beredar, duit dari tangannya tadi terjatuh dan aku nampak duit yang terjatuh itu adalah berjumlah RM 7. Nampaknya kami sudah ditipu, lalu aku bangun dan cuba pergi kepada lelaki itu tetapi telah dihalang oleh abang aku ( nasib baik kau! ). Begitulah sikap segelintir makhluk di bumi Malaysia ini yang suka mengambil kesempatan ke atas orang lain. Aku harap kamu yang telah membaca entri aku ini dapat berhati - hati apabila berhadapan dengan orang sebegini.


***: "tangan yang di atas itu lebih mulia dari tangan dibawah" . Aku sudah kembali ke situasi sibuk, jadi aku jarang dapat on9. Jika ada komen @ mesej dari anda yang tidak dapat aku balas, maafkan aku ya! ;)

June 28, 2009

Sikap " orang kita "




Baru - baru ini aku telah pergi ke tempat rekreasi untuk meluangkan masa disamping untuk menikmati pesekitaran yang segar. Sebelum ini selalu juga aku melawat tempat rekriasi itu tetapi kini berlaku sedikit perubahan kerana sudah terdapat khemah untuk mengutip "cukai". Merujuk kepada makcik yang menjaga "kaunter", bayaran itu dikenakan kerana tempat terbabit dijaga oleh penduduk kampung di situ dan duit berkenaan akan diberi kepada tabung untuk kampung tersebut.

Dahulu bayaran yang dikenakan kepada pemandu kereta adalah RM 1 dan penunggang motorsikal adalah RM 0.50 tetapi kini pemandu kereta di caj RM 2 manakala penunggang motorsikal adalah RM 1. Aku bukan nak berkira tetapi caj yang dikenakan seperti tidak berbaloi. Kononnya tempat itu "dijaga", tetapi tiada apa - apa yang membezakannya dengan rupa yang dahulu. Terdapat sampah sarap di tepi - tepi sungai yang semakin bertambah banyak.

Aku mencari tempat yang tiada orang untuk menjadikan "port" melepak. Dengan berbekalkan nasik berlauk ayam ( aku beli sebelum sampai ke sana ) aku pun duduk di tepi sungai tersebut untuk makan. Tetapi aku kurang berselera kerana terdapat bau yang kurang enak. Maka aku pun beralih ke tempat lain tetapi bau itu masih ada cuma kurang sedikit. Aku pun makan di situ bersama bau yang tidak enak ( dah lapar sangat, aku buat - buat seperti bau itu tidak wujud ). Setelah nasik aku hampir habis, baru aku teringat yang aku tertinggal air di tempat tadi. Pada masa itu barulah aku terperasan bau itu sebenarnya datang dari lampin bayi.

Bukan satu, tetapi TIGA lampin bayi yang berisi pepejal..!! Selera aku terus hilang dan terasa nak muntah. Nasi juga tidak dapat aku habiskan. Siapalah yang tidak bertanggungjawab membuang lampin itu. Mujurlah lampin yang berisi itu milik bayi ( sebab saiznya yang kecil ) cuba bayangkan jika itu lampin dewasa, sudah pasti aku muntah sehingga jadi kurus. Macam - macam perangai manusia kat Malaysia ni.


** : jagalah kebersihan alam sekitar. Jangan jadi pengotor yang menyusahkan orang ramai.

June 25, 2009

Michael Jackson meninggal dunia


King Of Pop


Michael Jackson yang digelar King Of Pop telah meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika di Los Angeles. Berikut adalah laporan mengenai beliau.









Michael Jackson Convert to ISLAM




Michael Jackson dead at 50.

Haha

Video ni sudah lama aku saksikan dan agak kelakar [ bagi aku ] . Jom tengok video ini ( sebab aku tiada idea untuk post kali ini ). Layaann..~~ :)


June 20, 2009

Yang Terakhir



Selain dari ikan, aku juga meminati kucing. Dulu aku pernah memelihara lebih dari 7 ekor kucing secara serentak, itu pun kerana kucing betina aku yang menghasilkannya. Namun ketika ingin berpindah rumah, seekor demi seekor kucing aku meninggalkan rumah aku. Masing - masing membawa haluan sendiri, ada yang pulang ke kampung dan ada juga yang mencuba nasib di bandar.

Apabila tiba masa perpindahan aku yang terakhir, langsung tiada seekor pun kucing aku yang mahu mengikuti aku. Aku pun mengharungi masa - masa bosan tanpa teman istimewa seperti biasa. Walaubagaimana pun, nasib aku berubah apabila seekor kucing yang tidak aku ketahui asal usulnya datang berpindah ke rumah aku. Bulunya cantik dan rupanya comel.

Cuma kelainan pada kucing ini ialah, ianya agak ganas. Cara gurauannya ialah menggigit! Kalau ada sesiapa lalu berhampirannya ketika ia bermain, pasti kaki anda menjadi mangsanya. Kucing ini agak manja, kebiasaannya ia akan masuk ke dalam rumah aku pada waktu - waktu aku makan seperti pagi, tengah hari dan magrib [ makan malam ]. Ia seolah - olah mengetahui yang pada waktu sebegini pasti ada makanan untuknya.

Diringkaskan cerita, pada hari ini ayam KFC adalah santapan aku untuk waktu malam. Bunyinya agak menarik bukan? tetapi aku hanya makan ayam itu separuh sahaja kerana separuh lagi aku simpankan untuk kucing itu. Seperti biasa, aku menanti kucing itu tetapi tidak muncul - muncul juga. Pada pukul 12.30 a.m setelah ayah aku pulang ke rumah, ayah aku memberitahu bahawa kucing itu telah dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu oleh *^&%#5 ( tidak mahu isu perkauman ). Patutlah kucing itu tidak muncul, maka terpaksalah aku buang ayam itu.. ;(

Maka setakat ini, itulah kucing aku yang terakhir. Sedih~~


selamat tinggal kucing - kucing sekalian, berjumpa di sana kita hendaknya


** : kawasan perumahan aku adalah kawasan taman dan laluannya agak kecil, mengapa perlu memandu dengan laju?

June 13, 2009

Blog tiada manfaat.




Menulis, membaca atau terlibat dengan blog adalah tidak membawa sebarang manfaat? Dari mana datangnya pendapat sebegini? Persoalan itu diajukan kepada aku ketika sedang melayari blog. Mungkin ini adalah pendapat dia, tetapi aku mempunyai pandangan yang berbeza dengan pendapat itu.



Aku tidak mahir untuk menjelaskan secara lisan kepada dia, lebih mudah jika aku nyatakan di blog sahaja. Jika (dia) masih tidak faham, bacalah berulang kali sehingga faham. Aku menulis blog hanyalah sebagai aktiviti sampingan diwaktu lapang, bukan sepenuh masa ( dah macam kerja pula ) . Mungkin anda lihat aku sering berada di hadapan komputer dan adakalanya sehingga lewat jam 1 atau 2 pagi, tetapi aku lakukan ini pada masa yang aku tidak mempunyai apa - apa aktiviti selain ini ( tidak dapat melelapkan mata ) . Aku juga merasakan adalah lebih baik pada jam 1 atau 2 pagi aku masih mengadap komputer berbanding jika pada waktu - waktu seperti itu aku masih melepak bersama rakan yang belum terjamin kebaikkannya.

Membuang masa dan tidak berfaedah? Itu cuma pandangan kamu yang hanya mahu memandang kepada perkara negatif. Jika disalah gunakan, ubat pun boleh memudaratkan kita. Lebih banyak perkara yang dapat aku pelajari melalui blog, sekurang - kurangnya aku sudah tahu meng - edit dan menggunakan blog ( walaupun tidak mahir ) berbanding kamu. Aku juga dapat mengetahui isu - isu terkini melalui blog. Hasil $$ dari blog juga ada cuma aku tidak pandai melibatkan diri ke arah itu. Menambah kenalan lagilah mudah.

Memang tidak aku nafikan bahawa ada keburukannya, tetapi ia bergantung kepada kitalah, baik cara kita gunakannya baiklah hasilnya. Hendak aku terangkan lebih lanjut, aku bukan seorang yang pakar. Cuma yang aku dapat ingatkan kepada kamu adalah aku menulis untuk mengisi masa lapang dan mungkin aku tidak ber - blog untuk selamanya, apabila tiba masanya aku akan berhenti juga.

** : kamu (dia) faham? jika tidak, bacalah lagi.. ;)





June 11, 2009

Award - Cik Sizuka







Hari ni aku dapat award lagi. Terima kasih kepada Cik Sizuka yang sudi memberi award kepada aku. Tetapi aku juga perlu menyempurnakan 2 tasks, dan task nya adalah seperti berikut ;

Task 1:

Accept the award, post it on your blog together with the name of the person who has granted the award and his or her blog link. [ aku sudah laksanakan ]


Task 2:

Pass the award to 15 other blogs that you’ve newly discovered. Remember to contact the bloggers to let them know they have been chosen for this award.

inilah 15 blogger yang menjadi pilihan aku secara rawak. Sebenarnya aku nak bagi award ni kepada semua terutama bagi follower blog aku tetapi aku tidak mampu untuk menyenaraikan semuanya. Kesimpulannya, siapa mahu sila ambil. ;)

  1. cik farhana boolat
  2. cik erin
  3. cik along arman
  4. cik neyra shazeyra
  5. cik - lady z
  6. cik awin
  7. cik hana
  8. cik yana
  9. cik kaktus
  10. cik nissa
  11. cik aina
  12. cik epa
  13. cik ayu
  14. cik nad
  15. cik NH lyfe

June 7, 2009

Memalukan

Malunyer



























Sebagai seorang manusia biasa, sudah pasti aku tidak terlepas dari terlibat dengan perkara yang memalukan. Aku rasa kamu juga pernah mengalaminya bukan?



Kes 1

Semasa mengikuti lawatan sambil belajar di zaman persekolahan dahulu, aku telah terlewat sampai semasa guru memberitahu dimana bilik aku untuk menginap. Dengan berbekalkan sikap "tidak mahu bertanya" atau "suka berdikari" aku pun mencari bilik yang telah ditetapkan untuk aku. Sedang aku mencari-cari, aku terlihat sepasang selipar yang sama dengan selipar kawan aku. Aku pun buka pintu bilik tersebut dan masuk ke dalamnya dengan harapan nak tidur sekejap. Setelah aku masuk ke dalam bilik tersebut, keadaan menjadi sunyi sepi dan semua orang memandang kepadaku. Lebih kurang beberapa saat keadaan yang sunyi tadi berakhir dengan jeritan yang agak bising. Rupa-rupanya bilik yang aku masuk itu adalah tempat penginapan untuk orang perempuan. Aku dengan kadar segera keluar dari bilik itu, menutup pintu kembali dan berlalu dengan ketebalan muka seperti dinding tembok besar China [dengan harapan mereka tidak mengenali aku].


Kes 2

Adakalanya aku suka melepak bersama kawan di kawasan depan rumah aku [rumah teres]. Pada satu malam, kami sedang seronok melepak sambil bergurau senda dan tiba-tiba keadaan menjadi gelap. Aku pun terus menjerit " jangan la tutup lampu, orang tengah duduk kat luar ni! ". Kemudian kakak aku keluar dari celah pintu, " siapa yang tutup lampu? lampu memang tidak pasang pun ". Lantas aku terperasan bahawa lampu yang dipadamkan itu dari rumah jiran aku. Makcik rumah sebelah bersama anaknya keluar sambil tersenyum kepada aku.


Kalau hendak diikutkan memang banyak lagi perkara yang agak melucukan. Takut kamu sahaja yang tidak mampu membacanya. Haha.. :D


Ape ni? Haha!!


May 30, 2009

Chelsea - Everton = 2 -1





Walaupun mendahului pada awal perlawanan, tetapi itu tidak menjamin kemenangan kepada Everton. Tahniah Chelsea!


Sama seperti kekalahan Man U, semua peminat bola sepak sudah menjangkakan Chelsea akan menang. Haha..

kredit kepada KampungChelseaFC [untuk gambar]



**: semalam aku dapat tidur awal + nyenyak. Huhu, seronoknyer~

May 24, 2009

Pengajaran

Kesilapan mengajar aku






Pengajaran bukan untuk di sekolah atau bersama guru sahaja tetapi pelbagai perkara yang boleh memberi pengarajan kepada kita. Kebiasaannya pengajaran ini boleh kita peroleh dari kesilapan, tidak kira sama ada kesilapan dari orang lain mahupun kesilapan dari kita sendiri. Sebagai seorang manusia aku juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan aku juga telah dapat pengajarannya.


Kisah bermula...

Pada umur 16 tahun, aku sudah memiliki lesen P untuk motorsikal. Tiada lagi aku seorang diri yang berjalan kaki atau menumpang kenderaan rakan aku. Jarak perjalanan aku juga semakin jauh, sebelum ini aku hanya berkeliaran sekitar kawasan tempat tinggal aku kerana berjalan kaki agak memenatkan tetapi kini aku boleh pergi sejauh yang aku inginkan.

Aku suka memotong kenderaan yang perlahan tidak kira sama ada dari sebelah kanan mahupun kiri sehingga pada suatu ketika, aku sedang memotong sebuah lori dan aku tidak menyangka bahawa ada sebuah lagi lori yang berjalan di lorong berlawanan. Lori itu [arah berlawanan] hanya mampu memberi isyarat lampu kepada aku dan masa berlalu begitu pantas. Tiada sepatah perkataan pun yang mampu aku ucapkan ketika itu, dan....

mujurlah ruang di antara dua lori itu muat untuk aku lalui. Kejadian ini tidak memberi sebarang pengajaran kepada aku, aku masih gemar menunggang dengan cara yang berbahaya. Pada suatu malam, sewaktu ingin melitas jalan aku telah dirempuh dari belakang oleh sebuah motorsikal. Kaki aku tersepit dan terseret bersama-sama motorsikal [seperti pelumba motorsikal professional]. Apa yang aku nampak ketika itu adalah sebuah motorsikal yang telah berderai bahagian depan lampunya beserta dua orang yang terbaring di atas jalan.

Penonton di sisi jalan semakin ramai dan mereka saling berbalah untuk menentukan salah siapa[bukan nak tolong]. Diringkaskan kisah, kami yang terlibat dalam kemalangan pada malam itu semuanya cedera dengan agak teruk. Aku mula insaf untuk menunggang secara berbahaya lagi. Aku juga sudah kurang menunggang motorsikal dan kembali berjalan kaki seperti dulu.


** : cerita masih belum tamat.... nantikannya (aku pun tak tahu bila nak buat sambungannya)

May 21, 2009

Sahabat

Rakan + Baik = Sahabat





Aku percaya kamu semua ada kawan, begitu juga aku. Tetapi tahukah kamu membezakan antara kawan dan kawan baik atau nama lainnya sahabat? Bagi aku kawan mudah dicari tetapi tidak bagi sahabat. Permulaan aku berjumpa dengan sahabat aku adalah sangat unik, sehingga aku sendiri tidak pernah menyangka dia bakal menjadi sahabat aku.

Semasa kecil aku telah berpindah dari tempat kelahiran aku ke sebuah kawasan kampung. Keadaannya begitu berbeza berbanding kehidupan aku sebelum ini, dimana aku terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan di sana. Aku juga tidak begitu rapat dengan kawan-kawan. Sekadar berjumpa di sekolah sahaja.

Walaupun aku masih baru di sekolah itu, tetapi telah terdapat perselisihan faham antara aku dan seorang rakan. Ini telah menyebabkan berlakunya kekecohan (tahu-tahu sahajalah bagaimana keadaan lelaki bergaduh). Pada masa itu muncullah penyibuk pengadil separuh masa yang tugasnya untuk meleraikan kami. Akibat terlalu marah, aku telah melepaskan "geram" kepada salah seorang pelerai itu dan menyebabkan kecederaan pada mulutnya (aku pun tidak menyangka aku akan buat begitu ganas). Ini membuatkan rakan kelas(kebanyakkannya lelaki) marah kepada aku. Petang itu, rakan-rakan aku menyampaikan pesanan(amaran) dari ayah si "pengadil " atau namanya Ahmad(bukan nama sebenar) kepada aku.

Keesokan harinya aku telah pergi ke kedai ayah Ahmad yang juga merupakan kedai runcit utama di tempat aku. Aku (dengan muka seposen) meminta maaf darinya dan ayahnya juga pesan kepada aku agar berkawan dengan baik. Sejak dari itu, kami mula berkawan. Aku juga menjadi rapat dengan rakan(Karim juga bukan nama sebenar) yang bergaduh dengan aku pada hari itu yang juga jiran kepada Ahmad. Kami begitu rapat sehinggakan sewaktu aku ingin berpindah, keluarga mereka menawarkan aku untuk tinggal bersama mereka dan tidak berpindah.

Sewaktu memasuki sekolah menengah, aku telah bertemu dengan Ahmad kembali. Ini membuatkan kami lebih rapat. Berlajar, melepak, makan, semuanya bersama. Walaupun di sekolah kami kelihatan biasa sahaja tetapi di luar kami seperti adik-beradik. Ahmad juga sering melepak di rumah aku pada waktu cuti (kerana pada masa itu dia telah memiliki motorsikal).

Saat sedih kembali selepas kami mengambil result SPM, saat itu aku telah berpindah ke tempat asal aku. Sekali lagi kami terpisah dan tidak dapat berjumpa. Aku dapat tawaran belajar di UiTM dan mengajak Ahmad untuk melanjutkan pelajaran di tempat yang sama. Disebabkan memilih pengajian yang bebeza, Ahmad menyambung pelajaran di tempat lain tetapi di kawasan yang berdekatan dengan rumah aku(yang baru). Kami telah bercadang untuk melepak bersama pada waktu cuti.

Cuti semester untuk aku telah bermula. Selepas subuh, aku mengemas barang untuk dibawa pulang dan aku telah dapat 1 SMS dari nombor yang tidak aku kenali. "siapa dia ni? SMS aku pagi-pagi buta ni". SMS itu berbunyi " Salam, Ahmad dah takde". Aku terkejut, dan aku balas SMS itu " Wslm, sape ni? Betul ke? Sebab ape?". SMS dibalas, " ni kiela(kawan sekolah aku dulu), Ahmad kemalangan. Mak aku yang bagi tahu. Aku sibuk ni, nanti mesej lagi". Itulah berita terakhir mengenai Ahmad.

Sedihnya aku tuhan sahaja yang tahu, namun aku terpaksa redha dengan ketentuan ilahi. Hilanglah satu-satunya sahabat aku. Siapa yang ingin menjadi sahabat aku selepas ini? Moga rohnya di cucuri rahmad dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.


**: hargailah rakan baik anda. [ semua nama di atas adalah bukan nama sebenar ]


Marilah dengar lagu ini. [ diambil dari blog Sya Yusof. Aku suka membuat permintaan lagu di blog Sya. Terima kasih Sya! ]


Peterpan - Tak Ada Yang Abadi [ download]

Takkan selamanya tanganku mendekapmu
Takkan selamanya raga ini menjagamu
Seperti alunan detak jantungku
Tak bertahan melawan waktu
Semua keindahan yang memudar
Atau cinta yang telah memudar
Tak ada yang abadi
Tak ada yang abadi
Tak ada yang abadi
Tak ada yang abadi
Biarkan aku bernafas sejenak
Sebelum hilang
Tak kan selamanya tanganku mendekapmu
Tak kan selamanya raga ini menjagamu
Jiwa yang lama segera pergi
Bersiaplah para pengganti

May 19, 2009

Lewat kerana perlahan

kawan aku ke ni?






Aku bukan mirip seekor kura-kura, bukan juga seekor kong kang, tetapi bagaimana aku boleh seakan-akan mereka?? Maksud "seakan-akan" itu bukan merujuk kepada muka ya, cuma pada kelajuan aku. Aku selalu terlewat untuk ke mana-mana, apa sebabnya? Sumpahan "janji Melayu" kah? Rakan-rakan yang lain pun sebangsa dengan aku, tetapi tidak pula seperti aku. Namun ada hikmah disebalik kelajuan aku yang tidak laju ini, ada kebaikan juga keburukannya. Nak tahu?


KEBURUKAN :

-- Aku dimarahi oleh guru/pensyarah kerana sering lewat ke kelas.

-- Jika tidak dimarahi pun, aku akan terlepas pelajaran di kelas.

-- Aku dipandang serong oleh rakan-rakan kelas terutama rakan perempuan(mengumpat aku la tu!).

-- Tidak mendapat masa yang secukupnya untuk menjawab soalan peperiksaan/ujian.


KEBAIKAN :

-- Jika kelas batal aku tidak berasa rugi kerana masih belum bersiap.

-- Aku sempat menyiapkan kerja yang tertangguh.

-- Menjadikan aku seorang yang tenang dan tidak menggelabah.



Itulah antara kebaikan dan keburukan yang dapat aku senaraikan. Kamu jangan salah sangka pula, itu sikap aku semasa dahulu kini kelajuan aku sudah kembali normal. Mungkin kerana aku kuat minum susu soya. Hehe~ Sekarang masa untuk berubah, masa untuk.... BERJAYA!!






** : jangan jadi seperti sikap lama aku kerana keburukannya jauh lebih banyak berbanding dengan kebaikan. ;)




May 18, 2009

Aku Di Tag

Aku Seorang Yang Sibuk





Disebabkan aku dah beritahu di shoutbox si wana yang aku nak jawab tag dia, maka aku tunaikan janji dengan tanpa berat hati(hehe..). Aku sebenarnya bukan tidak berminat untuk menjawab tag, cuma aku belum tahu untuk mencari nikmat menjawab tag itu. Baiklah, tanpa membuang masa aku mulakan untuk menjawab soalan yang pertama,


1) Jenama handphone anda? Dan sila googlekan imej handphone?



- Nokia N70 Music Edition. Gambar seperti di atas.



2) Sudah berapa lama anda menggunakan handphone tersebut?


- Lebih dari 1 tahun, tetapi tidak begitu lama.





3) Apakah wallpaper yang terpampang di skrin telephone anda? Dan terangkan mengapa anda memilih wallpaper tersebut?


- Yang terpampang di skrin telephone aku hanyalah kod-kod muzik. Ia memang telah disediakan bersama theme telephone aku.





4) Berapa jumlah "Contacts" yang terdapat di dalam handphone anda?


-Jumlah "contacts" dalam handphone aku adalah 278. Kesemuanya aku kumpul dari bangku sekolah lagi.





5) Sila masuk ke "Contacts" dan pergi pada huruf M. Berapa kenalan anda yang namanya bermula dengan huruf 'M'?

- 16 sahaja termasuk no mak aku.





6) Sekiranya diberi peluang, nombor telephone artis mana yang anda mahu? Kenapa?

- Tidak mahu, melainkan artis itu kenalan aku.






7) Berapa jenis handphone yang anda telah guna, selain handphone yang terkini?


- 1 sahaja. Inilah handphone aku dari dahulu. Jika ada orang yang sudi menghadiahkan handphone baru, barulah aku memiliki lebih dari 1 handphone. (ayat mengarut)





8) Rangkaian telekomunikasi yang anda gunakan?


- Hotlink dan Celcom (aku tertipu!)





9) Soalan terakhir!!! (Yesss! dh abissss dah laa rupanyaaa).

Nama org tersayang (BF/GF) yang anda set dalam phone?


-aku tiada kekasih. Jika ada pun, aku set kan nama sebenar mereka sahaja.


** : aku terlalu sibuk untuk menjawab tag, tetapi jika ada kesempatan aku akan menjawabnya dengan berat hati .. hihi ~

Sejarah Memancing Ikan

Aku Suka Memancing







Hari ini aku menjelajah ke blog lain untuk mencari idea dan agak terkejut kerana terdapat paparan blog aku di blog BUKAN KERANA NAMA. Terima kasih kepada tuan blog yang dikenali sebagai cikgu jai di shout box. Sebelum ini aku telah menceritakan minat aku terhadap ikan, kali ini aku ingin berkongsi kisah bagaimana aku mula terjebak dengan aktiviti memancing.


Sewaktu kecil, selain dari mengikuti ayah angkat aku pergi menjala, aku juga sering dipaksa mengikutinya pergi memancing. Bagi aku itulah saat yang sangat membosankan. Aku terpaksa meninggalkan rakan-rakan seperjuangan di padang bola dan rancangan-rancangan kartun kegemaran aku. Sebaliknya aku terpaksa berkawan dengan si pacat, si lintah dan si nyamuk yang tidak pernah hilang dahaganya. Aku lihat ayah angkat aku dan juga pemancing-pemancing tegar di kawasan itu sungguh tekun memancing. Terlintas juga di fikiran aku, "apa yang seronoknya memancing ini? Cuma membazir masa sahaja,". Disebalik muka aku yang bosan, muka-muka pemancing ini sungguh keriangan terutama apabila mereka mendapat ikan.

Apabila aku berusia 9-11 tahun, ayah aku telah berpindah ke kawasan kampung. Aku yang berasa agak janggal terpaksa membiasakan diri dengan keadaan di kampung. Jika dahulu aku bersama rakan bermain bola diwaktu petang, kini aku bersama rakan baru yang sering mandi sungai dan memancing! Berbeza dengan keadaan memancing di bandar, rakan-rakan aku di sini hanya menggunakan batang ubi dan tali pancing. Ranting kayu yang kecil pula dijadikan sebagai pelampung dan kail seperti biasa.

Memandangkan memancing merupakan antara aktiviti utama bagi rakan-rakan aku di kampung, aku juga mula mengikuti mereka memancing. Mulanya agak keberatan, tetapi selepas aku diberi peluang untuk memancing, aku juga menyukainya! Ikan yang sering aku dapat ketika itu adalah ikan Sisik (betul ke nama ni?) dan ikan Talapia. Umpan yang aku sering guna adalah cacing ( aku korek di kawasan pokok pisang di tepi rumah) , anak-anak udang (tangkap di tepi sungai atau kolam) dan bancuhan dedak dan tepung. Aku jarang menggunakan umpan roti kerana ia mudah hancur di dalam air(dan lagi satu sebab kerana aku gemar makan roti). Acara yang paling seronok ketika memancing adalah ketika memanggang ikan yang kami dapat (jika di bandar, ikan akan di masak di rumah) dan kadangkala ada di antara rakan aku yang membawa nasi.

Minat aku yang semakin bertambah memaksa aku menggunakan belanja sekolah untuk membeli kelengkapan memancing iaitu tali pancing (RM1.20) dan mata kail (RM0.80). Alatan yang selebihnya aku guna bahan dari alam semula jadi (batang ubi @ buluh) atau bahan terbuang (tin minuman). Sejak itu makin bertambahlah jenis ikan yang menjadi tangkapan aku, antaranya ikan Keli, ikan Haruan, ikan Sepat, Belut dan berbagai lagi (aku dah tak ingat).

Dahulu aku tidak minat memancing kerana aku tidak mencubanya, tetapi selepas mencubanya baru aku tahu nikmat memancing ikan. Sehingga kini aku masih minat memancing walaupun jarang mendapat peluang itu(kerana sibuk). Aku juga telah memiliki 3 joran sendiri satu darinya aku beli berharga hampir RM80 dan dua lagi dihadiahkan oleh abang ipar.

Bagi sesiapa yang kata memancing itu membosankan, cuba dulu baru tahu. ;) Inilah antara ikan yang pernah aku dapat.


Ikan Keli
Ikan Talapia
Ikan Talapia Merah Belut Ikan Sepat Ikan Haruan







** : walaupun aku minat dengan ikan, tetapi minat aku terbatas terhadap Ikan Tapah kerana bapa aku berketurunan Pak Kaduk. Untuk maklumat lanjut, lihat sini --> (link 1) - (link 2)


May 15, 2009

Selamat Hari Guru : 2009




Walaupun sudah lama aku tamat zaman persekolahan tetapi jasa-jasa guru masih terpahit terpahat dalam memori aku. Berbekalkan secebis memori ini, aku ingin kongsikan kisah-kisah aku dialam persekolahan bersama guru-guru yang banyak membantu aku walau selalu kadang-kadang aku menghampakan mereka.


Cerita ini aku mulakan dengan kisah aku sewaktu di sekolah rendah. Pada ketika itu aku memang seorang yang pemalas kurang rajin dan memang nasib aku kurang baik kerana guru aku ketika itu memang suka memberikan kerja rumah yang banyak. Kebiasaannya aku akan datang ke sekolah pada awal pagi dan tujuan aku untuk meniru kerja rakan-rakan yang lain. Seperti pagi-pagi yang biasa, aku ke sekolah dengan muka yang gembira dan hanya menanti jawapan dari rakan-rakan.

Malangnya pada pagi itu cikgu aku masuk awal ke kelas dengan dilengkapi muka yang garang beserta rotan. Aku mula berharap agar guru itu lupa tentang kerja yang dibaginya tetapi ada sahaja suara sumbang yang memusnahkan harapan aku itu. " Cikgu, kerja semalam cikgu tak mahu kutip ke? " . Ingin sahaja aku menempeleng mulut yang celupar itu tetapi bagi aku pada saat-saat yang genting ini aku perlu memikirkan cara untuk menyelamatkan diri.

Mujurlah idea bijak aku muncul di saat-saat aku memerlukannya. Aku meletakkan kepala di atas meja sambil menutup muka. Rakan di sebelah aku [Abu (bukan nama sebenar)] pun menjadi hairan.




Abu : kenapa tiba-tiba kau jadi macam ni?
Aku : aku sakit perut la.
Abu : kau pergi la ke tandas.
Aku : aku bukan nak buang air.
Abu : habis?
Aku : aku tak tahu. Perut aku senak.
Abu : kau nak aku beritahu cikgu ke?
Aku : bagus juga, lagi cepat lagi bagus. Aku dah tak tahan ni.



Abu dengan baik hatinya segera memberitahu kepada cikgu berkenaan. Cikgu memberi kebenaran kepada aku untuk ke kantin (kerana menyangka aku tidak bersarapan) dan meminta Abu untuk menemani aku. Setibanya aku ke kantin aku memberitahu perkara yang sebenar kepada Abu.



Aku : aku tak sakit apa-apa pun sebenarnya. Hehe..
Abu : habis, kenapa kau buat macam tu?
Aku : aku tak siap lagi kerja semalam. Aku takut kena marah.
Abu : eh..ada kerja ke? aku pun belum buat lagi.
Aku : jangan risau, kau duduklah dengan aku di kantin. Bila habis masa nanti,
kita balik lah ke kelas. Setuju?
Abu : Baik.



Rupa-rupanya Abu juga tidak menyiapkan kerja rumah itu. Dari kantin kami dapat menyaksikan beberapa murid yang tidak menyiapkan kerja sedang didenda. Manakala aku dan Abu bersantai di kantin sambil menikmati hidangan yang lazat (memang seronok sebab Abu belanja aku). Selepas kejadian itu aku tidak lagi meniru kerja rumah dari rakan-rakan kerana kalau "terkantoi" dengan cikgu disiplin memang bertatu la punggung aku. Pengajarannya buatlah kerja yang diberi oleh cikgu, semua itu untuk kepentingan murid juga. ;)


Selamat Hari Guru



Sekadar Gambar Hiasan




May 14, 2009

Ikan dan aku





-










Hari ni aku pulang ke kampung untuk menemui ibunda dan ayahanda tersayang. Seperti biasa aku akan sampai ke rumah dalam waktu petang akan tetapi yang menjadi luar biasa adalah apabila terdapat sebuah akuarium bersaiz kecil di dalam bilik aku. Di dalam akuarium tu terdapat 2 ekor ikan Sepat dan 1 ekor ikan Ntah (aku tak tahu nama ikan tu). Kakak aku cakap ikan tu abang aku yang beli. Bila aku tenung lama-lama ikan tu, ia mengingatkan aku tentang kisah aku yang suka membela ikan (pada masa dulu).


Semasa kecil aku sering mengikut ayah angkat aku ke sungai untuk menjala ikan. Dan selalu jugalah aku mencuri menyeludup ikan kecil dari jala ayah angkat aku (yang selalunya dibuang kerana saiznya yang kecil dan tidak sesuai untuk dimasak) ke dalam plastik yang berisi air untuk dibawa pulang ke rumah sebagai haiwan peliharaan. Tetapi aku selalu 'kantoi' ketika ingin pulang dan terpaksa melepaskan ikan-ikan kecil itu.

Bila masuk ke alam persekolahan(umur 7-8 tahun) pula, aku mula membeli ikan sendiri. Pagi-pagi ayah aku beri RM1 untuk belanja ke sekolah, namun aku tidak menggunakannya dan hanya membawa bekal dari rumah. Pada zaman itu kanak-kanak seusia aku pastinya akan tertarik untuk membeli Ding Dang dan Tora tetapi minat aku adalah terhadap ikan! Hehe.. ( nampak pelik ke aku ni? )

Pulang dari sekolah pagi(sekolah harian), aku dan abang akan ke kedai ikan dengan menaiki basikal tua mak aku yang ditunggang oleh abang ( aku kenit lagi, kaki tak sampai nak tunggang basikal mak aku). Kebiasaannya kami membeli 2 ekor ikan emas kurus dan makanannya kami beli secara kongsi. Selain dari ikan itu, kami juga pernah membeli ikan emas gemuk, ikan bandaraya(yang suka melekat di cermin akuarium) dan bermacam-macam jenis lagi yang aku sendiri dah lupa. Yang aku ingat ikan-ikan itu mudah mati kecuali ikan bandaraya sahaja yang mudah dijaga.

Sekitar aku berumur 9 - 11 tahun pula, aku mula minat terhadap ikan laga. Ikan ni bukan sahaja suka berlaga malah memiliki rupa yang menarik. Menjaga ikan ini juga mudah, tidak memerlukan bekas yang besar. Makanannya pula adalah jentik-jentik ( aku peram air belakang rumah sampai ada jentik-jentik ). Kadang-kadang bila mak aku nampak aku cuba 'menghasilkan' jentik-jentik aku akan dimarahi kerana risau didenda oleh Jabatan Kesihatan. Walaupun aku memelihara ikan laga tapi tujuannya bukan untuk dilagakan, aku cuma suka melihat ikan itu.

Pada suatu hari di hari raya(sudah lupa bila), aku terkejut kerana ada "tetamu kecil" telah mencampurkan 2 ekor ikan laga aku di dalam 1 bekas. Akibatnya ikan aku berlaga sehingga lemah dan mati. Aku terus tidak membeli ikan laga lagi sejak hari itu. Mungkin jika "tetamu kecil" itu kantoi semasa ingin melakukan perkara itu, aku akan melagakan kepalanya dengan lutut aku. Tetapi salah aku juga kerana letak di tempat yang tidak selamat. Hehe..

Ikan-ikan yang aku teringin nak pelihara




Ikan ni aku takut nak bela




hehe...



May 13, 2009

Permulaan

Sekadar Gambar Hiasan





-


Permulaan - setelah sekian lama aku mencuba, kini aku berjaya menghasilkan sebuah blog yang agak menepati citarasa aku. Blog-blog lama aku biarkan menjadi kenangan terindah. Sebagai permulaan, aku ingin kongsikan kisah aku berhadapan dengan tipu helah promoter.


Kisahnya berlaku ketika aku dalam perjalanan ke kompleks membeli-belah bersama kawan aku. Sampai di satu tempat terdapat promoter-promoter yang sudah biasa menjadikan kawasan itu sebagai sarang mereka. Jangan salah faham, promoter ini bukanlah promoter barangan di dalam pusat membeli belah tetapi promoter bagi perkhidmatan talian telefon. Diringkaskan cerita, promoter tu bagi kami sim card yang dikatakan percuma dan hujung bulan hanya perlu membelanjakan 5 ringgit (sebagai permulaan) dengan begitu banyak kelebihan sebelum bulan berikutnya (iaitu perlu dibayar RM 50). Ianya boleh dihentikan selepas sebulan. Sebelum kami meneruskan perjalanan, kami telah diminta untuk menandatangani di beberapa kertas. Dia juga meminta nombor talian kami yang lama.

Sambil aku berjalan di pusat membeli-belah itu, aku berfikir benarkah terdapat perkhidmatan percuma? Sedangkan tandas awam di perhentian bas yang membuatkan aku "terbantut" pun di caj, inikan pula talian telefon. Dan aku merasakan seperti "ada khinzir di sebalik pokok". Sebelum pulang, kami(dengan muka marah) telah pergi kepada promoter itu dan minta untuk membatalkan borang kami tadi.





Kawan aku : aku rase aku taknak la guna perkhidmatan ni
Promoter : kenapa?
Kawan aku : aku nak guna nombor lama aku
Promoter : tak boleh la sebab kitorang dah cabut stiker
Aku : kalau kami tak guna pun, kami kena bayar RM 50 jugak kan? Bukan RM 5?
Promoter : yer..
Aku : abis macam mane nak hentikan talian ni?
Promoter : korang boleh hentikan bila no tu dah aktif, tapi kalau boleh jangan
sampai melebihi 24 jam.
Aku : (tadi die cakap lepas sebulan baru boleh?? [aku terus blah])
Kawan aku : terima kaseh!




Cess.. macam mana aku boleh tertipu dengan promoter tu. Nasib baik la aku tak hebat macam Tony Jaa kalau tak dah lama aku terajang dia.!!

Links

Pautan kamu dan aku














-



Kepada anda yang ingin bertukar links dengan laman ini
anda boleh meninggalkan pesanan di ruangan sembang
atau komen. Terima Kasih.




Kawan punya blog

naz
syaz
a5th
nad
NH lyfe
mimie


Blog-blog lain

Blog anda?

Cinta Itu Indah
Bro Mie
Galeri Minami
Pauh Putik
aimanhaQimy
Seputeh Qaseh - reen
C.O.L.O.U.R.S _ izzati
amirah PAt0SA
sniffa93
Yanie Yahya
Zukfitry
Mazni Puteri
World of Sizuka
Lady Burd
m[i]era @)--;---
Song of My Soul - awin
annyssophelloa - anis
Missscha - syea
spillage - shax